Wanita dakwa polis curi barang kemas, wang tabung ketika serbu rumah
Alor Setar: Seorang wanita membuat laporan selepas mendakwa sekumpulan lima anggota polis yang menyerbu rumahnya di sebuah daerah, dekat sini, mencuri barang kemas dan wang dalam tabung milik anaknya.
Laporan polis berkenaan dibuat petang semalam oleh suri rumah berusia 36 tahun terbabit kerana dia mengesyaki pasukan serbuan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) itu mencuri seutas rantai dan gelang emas yang bernilai lebih RM8,000.
Selain dua barang kemas terbabit yang disimpan dalam almari bilik menjahit, wanita itu turut mendakwa wang kertas dalam tabung milik anaknya yang dianggarkan bernilai RM700 turut lesap dan hanya tinggal syiling.
Menurut sumber, pasukan polis yang diketuai seorang pegawai pada mulanya menyerbu rumah teres dua tingkat dihuni wanita berkenaan bersama suami dan dua anak mereka pada 1.20 pagi Sabtu lalu.
“Ketika serbuan, pasangan terbabit sedang tidur di bilik tingkat atas dan wanita berkenaan membuka pintu sebelum membawa polis yang mahu melakukan pemeriksaan terhadap suaminya.
“Hasil pemeriksaan, polis menemui syabu yang dianggarkan seberat hampir empat gram dalam kotak rokok milik suami wanita terbabit sebelum lelaki itu digari di ruang tamu rumah,” katanya.
Sumber berkata, anggota polis kemudian menggeledah rumah yang mempunyai tiga bilik di tingkat atas rumah itu dengan masing-masing dijadikan sebagai bilik tidur, bilik menjahit dan bilik komputer.
“Ketika itu, wanita berkenaan sedang menyusu anaknya di bilik utama dan selepas menggeledah polis tidak menemui dadah atau sebarang bahan bahan bukti lain.
“Anggota polis kemudian membawa suami wanita terbabit ke IPD untuk tindakan lanjut bagi membantu siasatan kerana memiliki dadah,” katanya.
Menurutnya, pada 5 pagi hari sama, wanita berkenaan yang masuk ke bilik menjahit digeledah polis terkejut apabila mendapati barang kemas disimpan dalam kotak hilang manakala tabung besi milik anaknya pula dipecah.
“Wanita terbabit yang tidak berpuas hati kemudian pergi ke IPD untuk bertanyakan mengenai barang kemas dan wang yang hilang itu namun kecewa apabila tiada sesiapa di bilik bahagian narkotik.
“Bagaimanapun, dia berjaya menghubungi seorang pegawai polis keesokannya sebelum dinasihatkan membuat laporan berhubung kejadian itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kedah Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan memberitahu siasatan lanjut mengenainya masih lagi dijalankan.
“Siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan jika benar seperti didakwa kita akan mengambil tindakan tegas terhadap pegawai dan anggota yang melakukan perbuatan terbabit,” katanya.
sumber ;metro