lbu H1ndu Ayah buddh4, Sebuah Perkongsian Yng Menarik Dari Seorang Wanita lni
MELAKA – Istilah ‘rumahku syurgaku’ mungkin paling layak bagi menggambarkan keharmonian hidup tiga beranak ini biarpun masing-masing menganuti tiga agama yang berbeza iaitu Islam, Hindu dan Buddha sejak tiga tahun lalu.
Begitulah uniknya kehidupan Nur Aisyah Foo Abdullah, 25 yang telah memeluk Islam tiga tahun lalu dan direstui kedua ibu bapanya, Pathma Devi a/p Rajarathinam, 53 dan Foo Ah Sin, 63 masing-masing beragama Hindu dan Buddha.
Menurut Nur Aisyah, biarpun berbeza agama, dia amat gembira kerana kedua-dua orang tuanya tidak pernah menghalang minatnya terhadap Islam yang berputik sejak kecil sehinggalah menyuarakan hasratnya memeluk Islam ketika berusia 15 tahun.
“Sebenarnya, pengaruh Islam itu bermula sejak kecil lagi kerana saya banyak bergaul dengan kawan-kawan Melayu sehinggalah memasuki alam persekolahan ketika berusia 15 tahun saya menyuarakan niat kepada ibu dan ayah untuk memeluk Islam.
“Bagaimanapun, ketika itu mereka menolaknya dengan baik dan memberi alasan perlu menunggu masa yang sesuai termasuk mencari orang tua yang dapat membimbing saya secara serius dalam Islam,” katanya kepada MalaysiaGazette di Taman Malim Jaya, di sini hari ini.
Nur Aisyah Foo
Nur Aisyah Foo bersama suami dan ibu bapanya.
Nur Aisyah yang merupakan anak tunggal berkata, dalam tempoh itu secara perlahan-lahan dia mempelajari cara hidup Islam termasuk berpuasa di bulan Ramadan selain turut bertudung ketika keluar rumah.
Tambahnya seperti ditakdirkan Allah, perjalanannya memeluk Islam dipermudahkan apabila mengenali seorang lelaki yang kini sudah pun menjadi suaminya di tempat kilangnya bekerja empat tahun lalu.
“Selepas beberapa bulan berkawan rapat, saya minta untuk mengenali keluarganya dan dari situlah ibu suami, Muhammad Shameer Hafizi Mekche, 21, banyak mengajar saya mendalami Islam selama hampir setahun.
“Tidak lama selepas itu, baharulah ayah dan ibu gembira dan menunaikan hasrat saya sejak remaja untuk memeluk Islam yang mana saya melafazkan kalimah syahadah di Pejabat Agama Daerah Alor Gajah pada 18 April 2019.
“Setahun kemudian, selepas yakin ‘cinta’ saya pada Islam mengatasi segala-galanya, baharulah saya dan suami bernikah pada 28 April 2020 yang dibuat secara ringkas kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 ketika itu,” katanya.
Nur Aisyah foo
Detik bahagia Nur Aisyah Foo Abdullah diijabkabul dengan Muhammad Shameer Hafizi Mekche.
Menurut Nur Aishah, walaupun sudah berstatus seorang Muslim, dia gembira kerana kedua ibu bapanya tidak pernah menjadikan itu sebagai halangan, malah memintanya dan suami untuk tinggal bersama mereka.
“Kini walaupun tinggal serumah, kami bersembahyang mengikut kepercayaan agama masing-masing dan bagi saya rumah teres dua tingkat inilah ‘rumahku syurgaku’ yang sebenar.
“Setiap hari, saya tidak putus-putus berdoa agar suatu hari nanti Allah juga membuka pintu hati ibu dan ayah untuk menerima Islam, namun jika tidak sekalipun saya redha kerana pahala mereka merestui penghijrahan saya,” katanya.
Menurutnya, dia dan suami serta anak perempuan mereka, Putri Nur Humaira yang kini berusia setahun akan terus menggembirakan orang tua mereka di dalam ‘syurga’ dunia selagi hayat dikandung badan. – MalaysiaGazette
Sumber:Beritaku