Ibu tunggal tidak bezakan layanan anak tiri, kandung
Johor Bahru: Biarpun bukan ibu kandung, Nurain Dona Dameria Abdullah menyayangi dua anak tirinya, Danish Naufal Norhasidi dan Danial Aiman Norhasidi seperti zuriat sendiri.
Kasih sayang dicurahkan wanita yang mesra disapa Nurain, 40, itu membuatkan Danish Naufal, 21, dan Danial Aiman, 20, selesa hingga memilih tinggal bersamanya walaupun wanita itu sudah berpisah dengan bekas suami kira-kira tujuh tahun lalu.
Kisah Nurain mendapat perhatian selepas berkongsi video dan kisah dengan anak tirinya di TikTok hingga mendapat perhatian warganet.
Berkongsi kisahnya, Nurain yang menetap di Kempas di sini berkata, sejak awal lagi dia tidak pernah menganggap Danish Naufal dan Danial Aiman sebagai anak tiri.
"Saya berkahwin dengan ayah mereka ketika Danish Naufal berusia lima tahun dan Danial Aiman empat tahun.
"Bukan mudah nak rapat kerana anak dijaga ibu mentua sebelum itu jadi lebih manja dengan nenek mereka.
"Lama kelamaan, saya diterima juga malah saya yang mengajar mereka solat," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Lebih membuatkan Nurain tersentuh apabila dua anak tirinya bukan hanya menyayangi malah tidak pernah lupa untuk meraikan hari ulang tahun kelahirannya.
"Setiap kali hari jadi, mereka pasti akan buat kejutan bagi meraikannya. Kiranya, mereka tidak pernah lupa hari penting dalam hidup saya dan sering juga belanja makan untuk berkongsi rezeki.
"Baik Danish Naufal mahupun Danial Aiman, kedua-duanya begitu malah mereka sanggup mengambil cuti bagi menjaga saya ketika sakit.
"Boleh dikatakan, hubungan kami memang rapat malah mereka tidak malu untuk bermanja atau kongsikan masalah dengan saya," katanya yang mempunyai tiga anak kandung berusia tujuh, 12 dan 14 tahun hasil perkahwinan dengan bekas suami.
Berhubung kisahnya yang tular, Nurain berkata, tujuannya berkongsi video di TikTok sekadar untuk menunjukkan kepada masyarakat terhadap sisi ibu tiri yang jarang diketengahkan.
"Niat saya nak buka mata orang kerana imej ibu tiri sinonim dengan kejam dan hanya berperwatakan baik di hadapan suami tetapi sebaliknya dengan anak tiri.
"Hakikatnya, bukan semua ibu tiri begitu dan diharap perkongsian saya itu dapat menyedarkan masyarakat.
"Semoga perkongsian yang baik daripada saya boleh jadi ikutan ibu tiri di luar sana juga peringatan kepada mereka supaya tidak membezakan layanan terhadap anak kandung dan anak tiri.
"Ia bagi mengelak timbulnya perasaan dendam anak tiri kepada kita apabila mereka sudah dewasa dan layanan saya dapat hari ini adalah hasil tuaian sebelum ini," katanya.
Sumber : hmetro