‘RM5 Siap Ada Daging Kot’- Peniaga Nasi Lemak Kecewa Pelanggan Merungut Harga Mahal
Tidak dinafikan ramai yang mengeluh dengan kenaikan harga makanan berikutan kos bahan mentah yang naik mendadak.
Tetapi bukan semua peniaga makanan bertindak menaikkan harga kerana segelintir mereka masih mengekalkan harga.
Namun begitu, ada pula segelintir individu yang masih tidak berpuas hati dengan harga tersebut kerana merasakan ia terlalu ‘mahal’ dan tidak relevan.
Seperti yang berlaku kepada seorang peniaga nasi lemak apabila ada orang yang membawa mulut mengatakan nasi lemak daging yang dijual dengan harga RM5 itu mahal.
Dia tampil menjelaskan kenapa dia menjual nasi lemak daging dengan harga tersebut dengan membuat perbandingan di antara nasi lemak daging berharga RM3 yang dijual oleh peniaga lain dan nasi lemak daging berharga RM5 jualannya.
“Dah letih nak hadap semua ni. Untuk mak cik atau pak cik bawang, atok nak cuba buka mentaliti semua. Ni ada 2 nasi lemak. Telur, kacang, ikan bilis, timun. Semua sama kecuali kuantiti lauk daging. Untuk yang sedikit, ada yang jual RM3 (gambar bawah).
“Dan untuk yang daging banyak macam ni, atok jual RM5 (gambar bawah). Memang sama, tapi cubalah tengok portion dia. Daging yang ni banyak mana, yang tu banyak mana. Kalau hampa nak cakap RM3 murah, memang lah murah sebab RM3, dia letak lauk sedikit.
“Yang daging banyak tu, atok jual RM5. Tengok lah banyak mana daging dia. Hampa jangan lah cakap mahal. Untuk orang yang suka bawa mulut tak elok tu, cubalah tengok balik daging atok banyak mana. Hampa tahu ke daging sekilo berapa yang hampa nak cakap mahal tu?” luahnya.
Jelas berbeza kuantiti lauk antara RM3 dan RM5
“Hampa nak pilih nasi lemak murah, atok boleh terima tapi janganlah cakap atok jual mahal. Hampa faham tak keadaan atok ni macam mana. Hampa nak compare harga nasi lemak atok RM5 dan nasi lemak orang jual RM3 boleh, tapi tengoklah portion dia sekali lagi. Tolonglah jangan bawa mulut. Jangan nak jatuhkan periuk nasi atok sebab atok berniaga,” ujarnya.
Tambahnya lagi, dia boleh sahaja menjual nasi lemak dengan harga RM3, tetapi dia mahu menjaga kualiti serta kepuasan pelanggan yang datang membeli.
“Atok boleh jual RM3, tapi hampa puas ke makan kuantiti lauk sedikit macam tu? Atok nak jual daging banyak supaya hampa boleh kenyang sampai tengah hari,” katanya lagi.
Meninjau ruangan komen, orang ramai menyokong kenyataan peniaga terbabit dan menyifatkan harga yang dijualnya berpatutan dan sudah memadai.
Video penuh:
Sumber: Toklee_granpader, Daily Makan